Menyusuri lorong-lorong yang penuh liku,
mehnah hidup yang tak berkesudahan,
tetapi bahagianya ada di sepanjang perjalanan,
jika segala yang diusahakan demi menggapai redhaNya.
Aku merasa pelik apabila manusia bergembira menyambut kedatangan tahun baru. Kerana hatiku sayu dan amat pilu memikirkan masa-masa yang telah berlalu yang tidak kugunakan untuk mencari redhaNya. Hatiku meronta-ronta kepedihan apabila teringatkan umurku yang makin bertambah dengan kehadiran tahun baru ini. Di manakah dan dengan apakah masaku kelak bakal dihabiskan. Adakah untuk Islam atau hanya sekadar memenuhi nikmat duniawi yang takkan pernah cukup.
Aku lagi bertambah bingung apabila umat Islam bersungguh-sungguh menyambut kedatangan tahun Masihi berbanding tahun Hijri. Di facebook, masing-masing saling bertukar ucapan 'Happy New Year'. Di Malaysia, pelbagai konsert 'Ambang Tahun Baru' dihidangkan kepada para penduduknya yang makin hilang dalam nafsu keseronokan, tenggelam dalam nikmat keduniaan. Pada malam itulah maksiat berleluasa, dara menjadi korban nafsu serakah, arak menjadi penghilang dahaga dan jalan menjadi landasan perlumbaan mat-mat rempit.
Lihatlah September nanti akan banyaklah bukti kemaksiatan dan zina yang berlaku di malam "Tahun Baru" dengan banyaknya anak luar nikah yang lahir dan dibuang di sana sini. Sama jugalah dengan fenomena Ambang Kemerdekaan, akan banyaklah bayi yang tidak bernasab lahir di bulan Mei. Bukalah matamu hai manusia yang diberikan akal. Masyarakatmu makin hancur ditelan arus kebaratan.
Mungkin kamu sudah cukup baik, tetapi bagaimana dengan rakan-rakanmu yang lain? Bukankah telah dinyatakan dalam Al-Asr,
" Demi Masa, Sungguh manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk menjunjung kebenaran dan saling menasihati supaya bersabar."
Ya, sahabat, Allah telah bersumpah dengan masa bahawa kita akan berada dalam kerugian andai kita tidak berpesan ke arah kebaikan. Nak baik sorang-sorang bukan sikap seorang individu Muslim. Bagaimanakah bi'ah solehah boleh diwujudkan andai kita membiarkan kemungkaran berlaku tanpa kita berusaha menasihati si pelaku daripada terbeli dengan ajakan, bisikan sang "PENJUAL NAFSU".
"Katakanlah, aku berlindung kepada Tuhannya manusia;
Raja manusia;
Sembahan manusia;
dari kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi;
yang membisikkan kejahatan ke dalam dada-dada manusia;
dari golongan Jin dan MANUSIA."
(An-Nas: 1-6)
Ya, kita boleh jadi sang 'penjual nafsu' secara sedar ataupun tidak.
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لاَ يُنْقِصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ، كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ، لاَ يُنْقِصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
1 comments:
SubhanAllah..good entry..bagai menyentak2 jiwa yg br pulang tuk mujahadah sebenar ni..doakn sy eh..
Post a Comment